
PENAMPANG, SABAH – Seorang lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian kanan sebuah Proton Saga di Jalan Papar – Kota Kinabalu pada 9.30 pagi tadi.
Mangsa yang merupakan pemegang kad pengenalan merah (MyPR) disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth.
Menurut Ketua Polis Penampang, Supt Sammy Newton, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan dan memandu secara berhemah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” Sammy berkata.