Kemarau Mula Jejas Kawasan Tanah Tinggi Sepanggar – Mustapha

Kemarau Mula Jejas Kawasan Tanah Tinggi Sepanggar – Mustapha

0
SHARE
Mustapha
Mustapha bergambar bersama seorang anak yatim dalam majlis berbuka puasa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dan Ming Garden Hotel di Ibu Pejabat Bomba Sabah di Jalan Lintas pada Jumaat

KOTA KINABALU, SABAH – Kemarau telah mula menjejaskan kawasan tanah tinggi Sepanggar yang sudah pun mengalami krisis air.

Ahli Parlimennya Datuk Mustapha Sakmud berkata bekalan air kawasannya itu kini berada pada tahap kritikal manakala kebakaran terbuka semakin berleluasa.

“Sebelum ini, isu air hanya menjejaskan kawasan di tanah rendah tetapi bekalan air graviti semakin berkurangan.

“Penduduk terjejas sedang menuju ke tempat yang lebih tinggi untuk mencari air.

“Ramai yang meminta air tetapi pada masa yang sama banyak tempat tidak dapat dilalui oleh lori tangki air jadi kami hanya mampu memberikan air mineral.

“Kami telah berjanji untuk membantu tetapi ianya tidak mudah dengan bekalan yang terhad,” katanya.

Beliau percaya kerajaan harus tampil dengan cara yang berkesan untuk menangani masalah itu.

Mustapha berkata Pejabat Ahli Parlinen Sepanggar juga sedang mencari jalan untuk menambah baik bekalan air graviti.

Mengenai kesan buruk El Nino, beliau berharap pelan tindakan sedia ada dapat diperhalusi agar rakyat, melalui kaedah pendidikan, dapat menamatkan pembakaran terbuka serta lebih bersiap sedia menghadapinya.

“El Nino berulang setiap tahun dan kebetulan berlaku pada bulan puasa Ramadan tahun ini.

“Daerah Papar baru-baru ini diisytiharkan sebagai situasi kecemasan bencana tetapi Sepanggar juga menghadapi masalah yang sama.

“Bukan bidang kuasa kami untuk membuat seruan itu tetapi kami mahukan perhatian yang sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis berbuka puasa dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Ming Garden Hotel.

Seramai 30 anak yatim Rumah Amal Kingfisher diraikan di ibu pejabat JBPM Sabah di Jalan Lintas, di sini, pada Jumaat.