Bina Muka Sauk Alternatif di Kampung Kabang, Bantu Selesai Isu Bekalan Air...

Bina Muka Sauk Alternatif di Kampung Kabang, Bantu Selesai Isu Bekalan Air Papar

0
SHARE
Bina Muka Sauk Alternatif di Kampung Kabang, Bantu Selesai Isu Bekalan Air Papar

PAPAR: Keperluan untuk membina muka sauk (water intake) alternatif di Kampung Kabang merupakan antara solusi yang dikenalpasti bagi alternatif kepada dua muka sauk sedia ada pada dua Loji Rawatan Air (LRA) di daerah ini yang kini pengoperasiannya terhenti.

Dua LRA tersebut adalah, LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) dan LRA Jetama.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berharap agar kerajaan negeri memberi pertimbangan khas agar pembinaan muka sauk alternatif itu dapat diluluskan segera bagi mengatasi masalah bekalan air terawat di Papar. 

“Ini kerana sungguhpun kesan kali ini adalah yang paling teruk, tetapi semakan saya mendapati isu ini kerap berulang. Pada tahun lalu contohnya, kedua-dua LRA ini terpaksa dihentikan operasi sementara untuk selama 26 hari dari keseluruhan 365 hari setahun kerana isu yang sama iaitu kadar kemasinan air yang melebih piawaian untuk rawatan.

“Atas sebab itu, antara solusi yang dikenalpasti adalah membina water intake alternatif dan kawasan yang sesuai adalah di Kampung Kabang, Papar.

“Bermakna muka sauk kedua perlu dibina untuk kedua-dua LRA ini supaya sekiranya water intake sedia ada bermasalah, maka sumber air mentah dari water intake kedua di Kampung Kabang boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar, semalam.

Tambah Armizan, perkara itu telah sampai ke perhatian Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan anggaran kos yang diperlukan adalah mencecah RM20 juta.

“Saya juga akan bawa perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan berharap agar kerajaan negeri dapat memberikan pertimbangan khas supaya projek ini dapat dilaksanakan pada kadar segera untuk mengelakkan isu ini daripada berulang,” jelasnya.