Dua Loji Rawatan Air Diharap Dapat Beroperasi Semula Bulan Depan

Dua Loji Rawatan Air Diharap Dapat Beroperasi Semula Bulan Depan

0
SHARE
Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Parlimen Papar

PAPAR: Dua Loji Rawatan Air (LRA) di Kampung Limbahau diharap dapat beroperasi semula bulan depan bagi membantu meningkatkan tahap bekalan air di daerah ini yang terjejas akibat kemarau.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua LRA yang dimaksudkan ialah, LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) dan LRA Jetama. 

Katanya, operasi kedua-dua LRA itu terpaksa dihentikan pada 17 Februari lalu setelah sumber air mentah yang sampai ke muka sauk water intake mempunyai kadar kemasinan yang amat tinggi.

Jelasnya lagi, cuaca panas dan kemarau telah melanda Papar hampir dua bulan ditambah pula dengan fenomen El-Nino menyebabkan kemarau dijangka berterusan di daerah itu hingga penghujung Mac.

“Dua loji ini pernah dihenti operasi 26 hari pada tahun lepas kerana masalah sama, iaitu kemasinan tinggi. Kebiasaannya apabila ada sumber bekalan air seperti hujan khususnya di hulu mengalir ke water intake itu paras kemasinan kurang, air laut pun tidak masuk.

“LRA ini hanya beroperasi bila di bawah kemasinan ditetapkan, kita harap ramalannya bulan April mula hujan dan moga-moga kita dapat sambut Aidilftiri ini dengan ada bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar, semalam.

Armizan yang juga Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pemberhentian operasi kedua-dua LRA telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 50,000 penduduk dan antara penyelesaian yang dikenal pasti ialah, membina intake alternatif di Kampung Kabang yang memerlukan kos RM20 juta.