Hajiji, Abang Johari Bakal Bertemu PM Muktamadkan Perkara MA63

Hajiji, Abang Johari Bakal Bertemu PM Muktamadkan Perkara MA63

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan beberapa perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk berkaitan isu geran khas.

Hajiji berpandangan keputusan kerajaan Persekutuan memberi autonomi kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak untuk meluluskan projek di bawah RM50 juta merupakan berita baik yang dinantikan pihaknya.

“Ia adalah satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penyerahan kuasa kawal selia sumber gas kita.

“Ia pasti akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa dihalang oleh kerenah birokrasi rumit sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Hajiji juga turut memaklumkan jawatankuasa kerja dan kajian semula mengenai MA63 akan diteruskan di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Pengerusinya.

Semalam, media melaporkan Anwar yang mengumumkan perkara terbabit dalam satu sidang media berkata ia bertujuan bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan.

Walau bagaimanapun, kelulusan oleh pentadbiran di kedua-dua negeri itu perlu mematuhi peraturan kewangan sedia ada.