Pemain Industri Ayam Dinasihat Patuhi Peraturan, MAFFI Perkukuh Libat Urus Bekalan dan...

Pemain Industri Ayam Dinasihat Patuhi Peraturan, MAFFI Perkukuh Libat Urus Bekalan dan Harga

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semua pemain industri ayam di Sabah dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan, khususnya berkaitan status halal, penentuan harga serta keperluan import, bagi memastikan kestabilan bekalan dan pasaran kekal terkawal.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Industri Unggas yang menghimpunkan pemain utama industri di Wisma Pertanian, di sini, pada Jumaat.

Sesi berkenaan disertai seramai 73 peserta terdiri daripada penternak ayam tempatan, pengimport ayam serta pengilang makanan haiwan, bertujuan menyelaras isu berkaitan bekalan dan harga pasaran daging ayam serta telur.

Menurut Jamawi, kementeriannya memahami keperluan mengimport bahagian ayam tertentu seperti sayap, paha dan dada bagi memenuhi permintaan pasaran serta keperluan industri makanan, namun penekanan tetap diberikan kepada pematuhan peraturan sedia ada.

“Kementerian akan terus memastikan penternak tempatan diberi keutamaan dan sokongan agar bekalan daging ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan persetujuan kementerian untuk menubuhkan satu jawatankuasa perundingan melibatkan penternak tempatan, pengimport dan pengilang makanan haiwan bagi memudahkan rundingan secara bersepadu dan mencapai penyelesaian secara menang-menang.

Jamawi berkata, kementeriannya juga akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi membantu menstabilkan pengeluaran tempatan dan mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) 100 peratus bagi industri ayam negeri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengimport Makanan dan Daging Beku Sabah, Lim Young Peing, menyifatkan sesi libat urus berkenaan sebagai julung kali diadakan dan mengalu-alukan inisiatif MAFFI yang menghimpunkan semua pemain industri bagi membincangkan isu secara terbuka dan konstruktif.