MEROTAI: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liew Yun Fah menyumbangkan sebuah bot fiber lengkap dengan enjin bagi membantu memperkasa operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan Merotai, susulan insiden banjir serius yang mengorbankan nyawa di Kampung Sungai Udin, baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian banjir kali ini amat mengejutkan apabila bukan sahaja melibatkan kawasan kampung, malah menjejaskan laluan utama sehingga menyukarkan pergerakan dan usaha menyelamat.
“Insiden banjir sehingga membawa kepada kematian di Kampung Sungai Udin benar-benar membuatkan saya terpukul. Biasanya kita hanya berdepan banjir kilat, namun kali ini ia menjadi lebih serius dan berbahaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan diserahkan sebaik beliau pulang dari Kota Kinabalu sebagai langkah segera membantu pihak berkuasa dan pasukan penyelamat di kawasan terjejas.
Bot fiber dan enjin tersebut diserahkan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai yang diwakili oleh Mohamad Fakir, bagi kegunaan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir.
Liew berkata, kemudahan itu diharap dapat memudahkan pergerakan pasukan penyelamat, khususnya ketika paras air tinggi dan laluan darat tidak dapat dilalui.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu pihak berkuasa memudahkan kerja menyelamat mangsa banjir termasuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PHRS akan terus peka terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana alam yang memerlukan tindakan segera serta sokongan di lapangan.






