Hak 40 Peratus: Azrul Tegaskan Pendekatan Konsisten Kerajaan Negeri Beri Hasil

Hak 40 Peratus: Azrul Tegaskan Pendekatan Konsisten Kerajaan Negeri Beri Hasil

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan konsisten, tersusun dan berfokus kepada hasil yang diamalkan kerajaan negeri hari ini berjaya memperkukuh perjuangan menuntut hak Sabah, termasuk dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan.

Menurut beliau, perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini menyaksikan pihak pembangkang sekali lagi tampil lantang mengangkat isu berkenaan, namun gagal menunjukkan rekod pencapaian ketika diberi mandat mentadbir negeri sebelum ini.

“Rakyat Sabah tidak mudah lupa. Ketika Warisan memerintah antara 2018 hingga 2020, mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM53.4 juta pada tahun 2019 dalam isu pemberian khas Persekutuan.

“Hari ini mereka tampil lantang seolah-olah paling ke hadapan, tetapi hakikatnya jelas, ketika diberi kuasa, mereka gagal menterjemahkan tuntutan tersebut kepada hasil yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Azrul berkata, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih strategik dan berterusan, sekali gus membina momentum kukuh dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Hasilnya, pemberian khas Persekutuan secara interim kini meningkat sehingga RM600 juta, satu lonjakan yang jauh lebih signifikan berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedudukan Sabah kini diperkukuh melalui penyertaan wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi memastikan kepentingan negeri diambil kira dalam aspek percukaian Persekutuan.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga tegas dalam mempertahankan hak apabila menuntut supaya hasil cukai yang tidak dipertikai dibayar pada tahun semasa, melibatkan kutipan sekitar RM3.019 bilion melalui LHDN dan Kastam, sementara menunggu proses rayuan serta formula bagi tahun-tahun terdahulu.

“Momentum ini turut diperluaskan dalam sektor strategik seperti tenaga serta industri minyak dan gas, termasuk melalui langkah penurunan kuasa dalam sektor tenaga serta pelaksanaan Commercial Collaboration Agreement yang memperkukuh penglibatan Sabah dalam industri berkenaan,” katanya.

Azrul menegaskan bahawa pendekatan kerajaan negeri hari ini membuktikan perjuangan hak Sabah bukan sekadar retorik politik, sebaliknya dilaksanakan melalui rundingan, dasar jelas dan tindakan konsisten yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Perjuangan hak Sabah bukan ditentukan oleh siapa paling lantang bersuara, tetapi oleh siapa yang benar-benar mampu membawa hasil,” katanya.