Sabah FC Hadapi Cabaran Kos Perjalanan dan Infrastruktur

Sabah FC Hadapi Cabaran Kos Perjalanan dan Infrastruktur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengarah Kelab Sabah FC, Datuk TPr Alijus Sipil, baru-baru ini telah membangkitkan beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh pasukan, terutamanya dari aspek operasi, kewangan, dan infrastruktur.

Menurutnya, salah satu cabaran terbesar yang kini dihadapi kelab ialah kos perjalanan yang semakin meningkat, terutamanya dengan harga tiket penerbangan yang melonjak hampir tiga kali ganda.

Dengan 16 perlawanan tempat lawan dalam semusim, jumlah perbelanjaan perjalanan dijangka mencecah antara RM800,000 hingga RM1 juta.

Walaupun kos tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab kelab, ia semakin menjadi satu beban yang sukar ditanggung, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai kelab, kami sentiasa berusaha untuk memastikan pasukan dapat beraksi dengan baik di tempat lawan, namun peningkatan kos ini memberi tekanan yang besar terhadap kewangan kelab,” ujarnya.

Mengenai pemilikan kelab, Sabah FC kini masih dimiliki oleh Kerajaan Negeri sebanyak 70 peratus dan selebihnya 30 peratus dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Walaupun usaha untuk mencapai kebebasan kewangan sedang dijalankan, beliau mengakui bahawa proses ini memerlukan masa dan perancangan yang teliti.

Selain itu, Sabah FC juga berdepan dengan kesukaran dalam usaha untuk menaik taraf kemudahan stadium.

Stadium Likas yang menjadi gelanggang utama pasukan bukan milik kelab dan sebarang penambahbaikan seperti pemasangan lampu limpah harus melalui kelulusan Lembaga Sukan Negeri Sabah, yang bergantung kepada peruntukan tahunan kerajaan negeri.

Alijus berharap agar kes-kes seperti ini dapat dipertimbangkan secara berasingan, memandangkan pentingnya kemudahan bertaraf tinggi untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Sabah FC juga membuat permohonan penjelasan berhubung syarat penggunaan padang rumput penuh yang kini dikuatkuasakan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya syarat tersebut dilaksanakan sepenuhnya, ia berpotensi untuk memaksa kelab memindahkan gelanggang rasmi dari Stadium Likas ke Stadium Tawau yang lebih jauh, sekaligus menambah kos logistik dan perjalanan yang lebih tinggi.

“Kelab berharap pihak berwajib dapat memberikan sokongan yang lebih kuat dalam usaha mengatasi cabaran-cabaran ini, demi memastikan perkembangan sukan bola sepak di Sabah terus berkembang maju,” tambahnya.