Lagi Bekalan 94,000 Vaksin CanSino Tiba Di Sabah

Lagi Bekalan 94,000 Vaksin CanSino Tiba Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bekalan sebanyak 94,000 vaksin dos tunggal CanSino khas kepada penduduk kawasan pedalaman tiba di Sabah pagi tadi.

Ianya penambahan kepada 50,800 dos yang tiba semalam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran) Datuk Masnah Matsalleh berkata sebanyak 86,000 lagi dos vaksin CanSino akan tiba di Sabah lagi esok (27 Ogos).

Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sabah itu mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa setakat ini, vaksin yang diterima mencukupi bagi keperluan sasaran.

“Kita juga menerima 70,000 dos vaksin SinoVac hari ini dan vaksin Pfizer turut tiba di Sabah Isnin lepas sebanyak 252,720 dos…

“Kita difahamkan, Sabah juga akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor pada Jumaat ini,” katanya kepada media.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Rose Nani Mudin berkata setakat Isnin, seramai 1.46 juta penduduk dewasa di negeri ini menerima dos pertama vaksin dan 866,228 orang lagi melengkapi dos.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan kerajaan negeri akan memastikan kadar vaksinasi di Sabah terus dipertingkatkan melalui program vaksinasi seperti jerayawara di kawasan pedalaman serta membenarkan ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah divaksin…

“Saya menyeru agar semua rakyat Sabah mengambil vaksin kerana ia terbukti dapat melindungi individu daripada dijangkiti.

“Sekiranya dijangkiti COVID-19 sekalipun, gejala yang diperoleh tidak seteruk berbanding individu yang tidak divaksin,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, JKNS sedang berusaha mengurangkan saringan tertunggak dengan mendapatkan bantuan sumber luar di makmal swasta.

“Pihak JKNS turut meningkatkan bilangan kakitangan yang menjalankan ujian di Makmal Kesihatan Awam serta melanjutkan waktu bekerja kakitangan makmal,” katanya.

Difahamkan dos tunggal CanSino akan memudahkan usaha kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok di kawasan pedalaman Sabah