Penyanyi Kelahiran Sabah, Sandra Dianne Meninggal Dunia Pagi Tadi

Penyanyi Kelahiran Sabah, Sandra Dianne Meninggal Dunia Pagi Tadi

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Sabah Sandra meninggal dunia awal pagi tadi selepas dilapor tidak sedarkan diri setelah terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada Sabtu lepas.

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, dikenali ramai menerusi lagu ‘Hey Kau’ dan juga merupakan peserta Big Stage 2020 musim ketiga.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shariat berkata Sandra dilaporkan meninggal dunia kira-kira 1 pagi tadi.

“Kami menerima panggilan dari Hospital Putrajaya bahawa mangsa disahkan meninggal dunia dan kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang pada Sabtu lalu, Sandra telah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Media melaporkan kereta dipandu oleh Sandra dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sisi kiri sebuah kereta lain di hadapannya.

Susulan kemalangan itu, penyanyi itu mengalami kecederaan di kepala serta dilaporkan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Putrajaya.