Ketegangan di Timur Tengah mencetuskan lonjakan harga emas dan minyak dunia selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran, mengorbankan Ketua Turus Tentera Iran, Jeneral Mohammad Bagheri.
Harga emas naik setinggi 1.8 peratus, menghampiri rekod tertinggi, apabila pelabur beralih kepada aset selamat.
Sementara itu, minyak mentah Brent melonjak sehingga 13 peratus melebihi AS$78 (RM331) setong. Ianya merupakan kenaikan harian terbesar sejak perang Ukraine bermula pada Mac 2022.
Pasaran global turut menyaksikan lonjakan permintaan terhadap bon Perbendaharaan AS dan dolar AS, yang kembali pulih daripada paras terendah tiga tahun.
Sebaliknya, saham syarikat penerbangan terjejas teruk akibat kenaikan harga minyak, menyebabkan indeks FTSE 100 susut sehingga 0.7 peratus.
Saham IAG, pemilik British Airways, menjunam 7.1 peratus manakala easyJet merosot 5.6 peratus.
Iran memberi amaran akan bertindak balas secara “tegas dan keras,” sekaligus meningkatkan kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak, terutama jika Tehran menyekat Selat Hormuz yang merupakan laluan penting penghantaran minyak global.
Penganalisis perbankan ING, Warren Patterson berkata pasaran kini berada dalam keadaan penuh ketidakpastian geopolitik dan perlu memasukkan risiko tambahan terhadap sebarang gangguan bekalan.






