Isu Gaji Minimum Wartawan Sabah Tidak Boleh Dibiarkan, Perlu Intervensi Segera –...

Isu Gaji Minimum Wartawan Sabah Tidak Boleh Dibiarkan, Perlu Intervensi Segera – PMX

0
SHARE
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bertemu lebih 50 pengamal media Sabah dan Semenanjung bagi mendengar pandangan, teguran serta menjawab persoalan isu-isu semasa semasa lawatan kerja di Kota Kinabalu. 16 November 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masalah gaji minimum yang dialami sebilangan wartawan Sabah tidak boleh dibiarkan berlarutan, sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan meneliti isu kebajikan pengamal media secara dekat untuk mencari penyelesaian yang lebih adil dan mampan.

Anwar berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasminya selepas bertemu lebih 50 pengamal media dari Sabah dan Semenanjung pada hari kedua lawatannya ke negeri ini.

Sesi tersebut turut memberi ruang kepada media menyuarakan pandangan, teguran serta persoalan berkaitan isu semasa termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengulas isu MA63, Perdana Menteri menegaskan komitmen penuh kerajaan terhadap pelaksanaan Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil, selain memaklumkan keputusan kerajaan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai langkah memperkukuh prinsip perwakilan adil dalam sistem demokrasi negara.

Pada masa sama, Anwar mengakui tersentuh dengan luahan wartawan Sabah mengenai kadar pendapatan rendah, termasuk kes wartawan berpengalaman hampir sedekad namun masih menerima gaji pada paras minimum.

Menurutnya, keadaan itu tidak wajar diteruskan dan memerlukan intervensi segera.

“Saya akan meneliti perkara ini secara dekat untuk mencari pendekatan yang sesuai bagi menjaga kebajikan pengamal media di Sabah dan seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan media semakin kritikal ketika negara berdepan lambakan maklumat palsu, fitnah dan manipulasi politik. Justeru, media yang beretika dan berimbang merupakan benteng kebenaran serta asas kepercayaan rakyat.

Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang terus komited memastikan pelaporan jujur, profesional dan bertanggungjawab, sambil menyifatkan dedikasi mereka sebagai tulang belakang kepada penyampaian maklumat sahih kepada rakyat.