G57: HAJIJI TEGAS, TIDAK GADAI HAK IMIGRESEN SABAH

G57: HAJIJI TEGAS, TIDAK GADAI HAK IMIGRESEN SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan dasar serta pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini bagi memastikan hak autonomi imigresen Sabah terus terpelihara.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, keputusan yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan suara rakyat serta kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, KPPIS sebelum ini tampil menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan AKPS kerana dikhuatiri boleh menghakis kuasa autonomi negeri selain mengundang pertindihan bidang kuasa membabitkan tugas pegawai imigresen di pintu masuk utama Sabah.

G57 berpandangan tindakan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS memperlihatkan kepimpinan negeri masih tegas mempertahankan hak Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan Hajiji tidak tunduk dalam perkara melibatkan kepentingan dan kedaulatan hak Sabah walaupun membabitkan pelaksanaan dasar di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, sebarang dasar atau akta baharu yang berpotensi menjejaskan kuasa autonomi imigresen Sabah perlu diperhalusi terlebih dahulu agar hak negeri terus kekal terpelihara seperti dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

Katanya lagi, G57 percaya pendirian kerajaan negeri itu selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahu hak istimewa negeri terus dipertahankan tanpa kompromi.