Pemuda Gagasan Rakyat Tegas Sokong Penangguhan AKPS, Pertahan Autonomi Imigresen Sabah

Pemuda Gagasan Rakyat Tegas Sokong Penangguhan AKPS, Pertahan Autonomi Imigresen Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini sehingga semua isu berkaitan kuasa autonomi imigresen dan hak-hak istimewa Sabah diperjelaskan sepenuhnya.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, keputusan yang dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan ketegasan serta komitmen kerajaan negeri dalam mempertahankan hak Sabah seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut beliau, sebarang dasar melibatkan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah perlu dilaksanakan secara teliti, sistematik serta berpandukan kerangka perundangan agar tidak menjejaskan bidang kuasa dan kedudukan negeri.

“Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan bahawa pelaksanaan dasar berkaitan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah mesti dilakukan secara berhati-hati dan menghormati hak autonomi negeri.

“Kita tidak menolak keperluan memperkukuhkan aspek keselamatan sempadan dan pengurusan imigresen, namun pelaksanaannya mesti selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan MA63,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Azrul berkata, pendekatan tegas tetapi berhemah yang diambil kerajaan negeri amat penting bagi memastikan kepentingan Sabah terus terpelihara tanpa menjejaskan keperluan penguatkuasaan dan keselamatan di pintu masuk negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan kerajaan negeri dalam mempertahankan hak Sabah serta memastikan setiap dasar melibatkan negeri ini dilaksanakan berasaskan semangat Persekutuan yang menghormati hak dan autonomi Sabah.