TUARAN: Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasakan golongan wanita dan suri rumah dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan kepimpinan bagi memastikan mereka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau menghargai peranan dan sumbangan kaum wanita, khususnya di kawasan Sulaman di sini.
“Setiap tahun saya memberi peruntukan kepada wanita di kawasan saya, Sulaman sebanyak RM500,000 termasuklah untuk program bantuan peralatan dapur.
“Begitu juga kepada pemuda dan beliawanis kita di Sulaman, saya beri masing-masing RM500,000 setahun. Ini adalah untuk menyantuni program-program wanita, pemuda dan beliawanis kita di kawasan Sulaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Pada majlis anjuran Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulaman dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran itu, seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman beliau tidak menafikan sokongan kuat daripada pengundi wanita terhadap beliau merupakan antara penyumbang beliau menjadi wakil rakyat kawasan tersebut selama sembilan penggal sejak tahun 1990.
“Saya tidak pernah lupa peranan wanita. Mereka merupakan separuh daripada pengundi kita di Sulaman,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan untuk memperkasakan wanita di seluruh negeri dan pelbagai program telah diperkenalkan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) antaranya melalui bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi meringankan beban kewangan golongan B40, keluarga berpendapatan rendah serta suri rumah.
“Contohnya di Tuaran. Daripada lebih kurang 10,000 penerima bantuan SYUKUR di sini, lebih 3,000 penerima adalah dari Sulaman.
“Bantuan SYUKUR tahun lepas RM300 sebulan antaranya wanita yang berkelayakan. Itulah tanggungjawab kita Kerajaan Negeri untuk senantiasa memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata antara komponen terpenting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya ialah kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memberi bantuan RM200 sebulan kepada 140,000 orang dari golongan tidak berkemampuan pada tahun ini, katanya.
“Ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Hanya kerajaan yang saya pimpin, GRS dan parti komponen kita ini sahaja yang melaksanakannya.
“Banyak inisiatif telah kita laksanakan. Kalau kita sebut kebajikan, dulu-dulu hanya sekitar lebih 20,000 orang sahaja menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan. Sekarang ini dalam masa lima tahun, kita tingkatkan sehingga hampir 70,000 orang penerima setiap bulan.
“Itulah dasar hala tuju saya dalam menyantuni rakyat iaitu untuk kesejahteraan rakyat kita,” katanya.
Beliau turut meminta seluruh kepimpinan GRS untuk mementingkan perjuangan parti.
“Sebagai tunjang kepada kerajaan, GRS mesti kita perkuatkan, dan GRS mesti menerajui kerajaan negeri Sabah ini, bukan saja sekarang tetapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri empat tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan terhadap pengerusi penganjur Datuk Jamaliah Antalip yang telah memberi komitmen tinggi dalam menjayakan program bantuan peralatan dapur bagi kawasan Sulaman.






