SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna menggagalkan cubaan sebuah bot laju menyeludup masuk rokok di perairan Semporna sekitar jam 4.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot enjin sangkut berwarna kelabu hijau tanpa nombor pendaftaran berkenaan di lokasi sekitar utara perairan Kampung Alor sini.
“Semasa dirapati, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran…
“Pemeriksaan ke atas bot menemui tong-tong kosong yang dipercayai untuk diisi petrol di negara bagi diseludup keluar, bersama lebih kurang 36,000 batang rokok.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot beserta enjin lebih kurang RM 242,000 keseluruhannya,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok tanpa cukai.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini,” tambahnya.
Norrimi berkata pihaknya juga akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri Sabah melalui jalan laut.