Program Dianggap Cincai Rupanya Beri Manfaat Kepada Masyarakat

Program Dianggap Cincai Rupanya Beri Manfaat Kepada Masyarakat

0
SHARE
Khatan
Kanak-kanak riang gembira ketika acara bersiram sebelum dikhatan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Sejak dilaksanakan 33 tahun lalu, program berkhatan memberi manfaat kepada 4,864 kanak-kanak di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis.

Menurut Pengerusi Angkatan Hebat Sdn Bhd (AHSB) Datuk Abdul Rahim Ismail, program berkhatan dalam kelompok kecil pada tahun 1991 itu dianggapnya program cincai (tidak bersungguh), sebelum dijadikan program tahunan bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Ini adalah tahun ke-33 penganjurannya dan kita hanya terhenti dalam tahun 2019 kerana suasana politik yang berbeza dan kita teruskan atas permintaan ibu bapa.

“Ini juga merupakan sentuhan kasih yang luar biasa yang pada mulanya kita ragukan hasilnya..adakah ia berjaya atau tidak, apa kesan yang diperolehi daripada anak-anak ini.

“Namun, selepas 33 tahun anak-anak ini berkembang menjadi tokoh profesional, tokoh akademik, penjawat awam yang berkaliber dan sebagainya.

“Ini kesannya kepada masyarakat setempat yang bermula dengan program yang dianggap sebagai program cincai rupanya program ini bermanfaat,” jelasnya kepada media dalam Majlis Berkhatan Peringkat DUN Pantai Manis di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, program anjuran bersama Gagasan Rakyat Bahagian Pantai Manis dan Pejabat Parlimen Papar tersebut dilancarkan oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali dan disertai 120 kanak-kanak yang berumur di antara 9 hingga 14 tahun.

Antara yang hadir, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri Roslie Ibrahim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Pantai Manis, Rahman Latif dan ketua-ketua jabatan di daerah berkenaan.

Mengulas mengenai isu bekalan air di Papar, Abdul Rahim yang juga Ketua Bahagian Gagasan PGRS Bahagian Pantai Manis menggesa masyarakat agar terus fokus dan menyokong usaha kerajaan menerusi projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kampung Kogopon yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Katanya, loji tersebut bakal meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 40 juta liter kepada 80 juta liter sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air bersih di daerah Papar dan kawasan sekitarnya.

“Pada tahun 2018, kita mengalami tsunami politik dan malangnya usaha kerajaan terdahulu dengan yang bajet sudah diluluskan tetapi tidak diteruskan.

“Hari ini, pihak tersebut melemparkan tuduhan adalah masalah yang dicipta oleh YAB Ketua Menteri dan konco-konconya tetapi realitinya ia bermula daripada terhentinya projek federal termasuk jambatan Papar, bekalan air dan banyak lagi program yang jelas memberi manfaat kepada rakyat,” jelas beliau. — JABATAN PENERANGAN SABAH