Ops Tiris 3 KPDN Rekod Rampasan RM5.15 Juta

Ops Tiris 3 KPDN Rekod Rampasan RM5.15 Juta

0
SHARE
Armizan
Armizan (tengah) ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 3 merekodkan nilai rampasan RM5.15 juta membabitkan diesel dan pelbagai barang kawalan bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata 3,257 pemeriksaan dijalankan sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 3 yang bermula 1 Januari sehingga 15 Februari ini.

“Ops Tiris 3 berjaya menghasilkan sebanyak 330 kes membabitkan rampasan minyak diesel sebanyak RM4.76 juta, petrol RON95 sebanyak RM90,611, LPG sebanyak RM154,189, minyak masak sebanyak RM107,759 dan gula sebanyak RM35,737.

“Seramai 65 individu juga telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], manakala di Sabah sebanyak 221 pemeriksaan telah dilakukan dengan bilangan kes sebanyak 29 dan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan Bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Di Negeri Sabah.

Sebanyak 16 agensi penguatkuasa terlibat dalam bengkel tersebut antaranya Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Armizan turut memaklumkan Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan pada 1 Mac 2023 sehingga 31 Disember 2023 melibatkan 15,927 pemeriksaan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.mencatatkan nilai rampasan diesel berjumlah RM14.2 juta.

“Bagi negeri Sabah, sebanyak 1,026 pemeriksaan telah dilaksanakan dengan sejumlah 32 kes telah dihasilkan dan nilai rampasan sebanyak RM1.05 juta dalam tempoh Ops Tiris 1.0 dan 2.0.

“Sejumlah 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi telah dihasilkan dengan kuantiti rampasan sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta, manakala nilai rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta.

“Seramai 554 warganegara tempatan, 112 orang warganegara asing dan dua orang penduduk tetap telah ditahan yang menjadikan jumlah keseluruhan 668 orang,” jelas beliau. — JABATAN PENERANGAN SABAH