KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan pelabur yang serius untuk datang dan mewujudkan kerjasama yang saling menguntungkan.
“Transformasi ekonomi Sabah amat membanggakan. Kita telah berkembang daripada sebuah ekonomi yang berteraskan sektor primer kepada sebuah ekonomi yang pelbagai dan dinamik.
“Selaras dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di Magellan Sutera di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, sidang kemuncak itu amat bertepatan pada masanya kerana menyediakan platform kepada pemimpin pemikiran untuk membincangkan satu tonggak penting iaitu pelaburan impak dalam konteks pembangunan mampan.
“Kami mengiktiraf bahawa pelaburan impak pada asasnya melibatkan penyaluran modal kepada pelaburan yang menjana manfaat sosial dan alam sekitar yang boleh diukur, di samping memberikan pulangan kewangan.
“Sabah menantikan pelabur yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan yang inklusif dari segi sosial dan ekologi dengan hasil yang nyata,” katanya.
Ketua Menteri berkata, sidang kemuncak itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Sabah untuk muncul sebagai antara hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata, hanya dua bulan lalu beliau telah berucap pada Sidang Kemuncak Kelestarian di sini dan menjelaskan bahawa jauh sebelum kelestarian menjadi agenda antarabangsa, Sabah telah pun melindungi hutan, lautan, hidupan liar serta antara ekosistem terkaya di rantau ini.
“Sabah telah menyumbang bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi menerusi dasar, pengurusan tanah yang bertanggungjawab serta pengorbanan yang nyata.
“Hari ini, kita berbangga kerana hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas). Kita juga mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih (negeri karbon negatif) berdasarkan data inventori gas rumah hijau, disokong oleh kawasan hutan yang luas yang memperkukuh kapasiti negara menyerap karbon.
“Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang dibangunkan bersama komuniti tempatan membolehkan kita mengekalkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Keluar sahaja dari bangunan ini, anda akan dapat merasainya. Jiwa dan semangat Sabah berakar umbi daripada warisan semula jadi kita. Itulah identiti kita,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Menteri menegaskan bahawa keperluan pembangunan Sabah masih nyata dan mendesak.
“Kita memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik yang lebih stabil, bekalan air yang lebih bersih serta peluang ekonomi yang lebih luas. Rakyat memerlukan peningkatan taraf hidup yang nyata. Dan pendirian kita jelas, kita tidak boleh mengejar pertumbuhan dengan mengorbankan alam sekitar yang menjadi sandaran kita untuk jangka panjang.
“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada memilih kelestarian atau pembangunan. Sebaliknya, bagaimana kita membina dan mengamalkan satu model baharu yang belum diterokai, di mana kelestarian menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar.
“Itulah tema sidang kemuncak ini dan ia merupakan cabaran utama serta peluang terbesar bagi pentadbiran saya,” katanya.
Menurut beliau, rantau Asia Pasifik berada pada landasan pertumbuhan yang memberangsangkan, didorong oleh ekonomi yang dinamik, proses pembandaran yang pesat serta potensi pasaran yang semakin berkembang, sekali gus menjadikannya destinasi utama peluang pelaburan.
“Dunia kini memandang ke arah Asia Pasifik bukan sahaja kerana potensi ekonominya, tetapi juga kerana kepimpinan pemikiran dalam sektor-sektor utama seperti teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
“Forum seperti sidang kemuncak ini menyediakan platform terbaik kepada pemimpin industri untuk menjalin kerjasama global serta memperkenalkan penyelesaian yang bersifat transformatif,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS) di Wawasan Open University, Pulau Pinang, Tan Sri Andrew Sheng, dan pasukannya kerana bersama-sama menganjurkan sidang kemuncak itu dengan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.






