Seorang Roboh Rumah Sendiri, 38 Struktur Setinggan Likas Square Dirobohkan

Seorang Roboh Rumah Sendiri, 38 Struktur Setinggan Likas Square Dirobohkan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang penghuni setinggan merobohkan sendiri rumahnya manakala 38 lagi struktur haram di kawasan belakang Likas Square dirobohkan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu pada Khamis lalu.

Operasi diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik rizab parit dan sungai itu membabitkan 25 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), polis, Sabah Electricity dan Penolong Pemungut Hasil Tanah.

DBKK berkata kawasan berkenaan sebelum ini pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan, namun pemantauan mendapati struktur haram dibina semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara, sekali gus menjejaskan fungsi rizab saliran, keselamatan awam dan alam sekitar.

“Penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi memelihara kepentingan awam, melindungi aset kerajaan serta memastikan kesejahteraan bandar raya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum operasi dijalankan, sebanyak 39 notis pengosongan, perobohan dan pengalihan telah dikeluarkan pada 25 Jun dengan tempoh pematuhan selama 14 hari diberikan kepada penghuni.

DBKK turut menegaskan pembinaan tanpa kelulusan di tanah kerajaan, termasuk rizab sungai dan parit, merupakan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.