Peniaga Warung Didakwa Atas 10 Pertuduhan Jenayah Seksual, Miliki Bahan Pornografi Kanak-Kanak

Peniaga Warung Didakwa Atas 10 Pertuduhan Jenayah Seksual, Miliki Bahan Pornografi Kanak-Kanak

0
SHARE
Yusri, 57 didakwa atas 10 pertuduhan jenayah seksual terhadap tiga kanak-kanak. Foto: NSTP

MELAKA: Seorang peniaga warung didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 10 pertuduhan jenayah seksual termasuk melakukan persetubuhan luar tabii, memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, tertuduh Yusri Nadin, 57 tahun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, Yusri didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 thaun lapan bulan di ladang kelapa sawit, Jalan Padang Lebar 3, Simpang Bekoh, Jasin pada kira-kira jam 9 malam, 7 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan turut berdepan sembilan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017).

Yusri turut didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dalam tiga telefon bimbit miliknya mengikut Seksyen 10 akta yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ladang kelapa sawit, ladang getah dan dalam pasar raya sekitar Simpang Bekoh, Jasin antara pertengahan Ogos hingga 6 Februari lalu.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom telah menawarkan jaminan RM90,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, tetapi tertuduh yang diwakili peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM52,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan, iaitu tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai. 

Tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Sebutan semula kes adalah pada 28 Mac ini untuk serahan dokumen.