Penjawat Awam Ditahan, Terlibat Kes Pecah Rumah di Tanjung Batu Tengah

Penjawat Awam Ditahan, Terlibat Kes Pecah Rumah di Tanjung Batu Tengah

0
SHARE

TAWAU: Seorang penjawat awam ditahan polis pada pagi Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di kawaan Tanjung Batu Tengah, bulan Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki yang berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tawau di kawasan tepi Jalan Tungku, Felda Sahabat, Lahad Datu.

Menurutnya, mangsa seorang wanita warga tempatan berusia 61 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Tawau pada 26 Mac lalu selepas mendapati rumahnya telah dimasuki individu tidak dikenali. 

“Kejadian disedari mangsa selepas pulang ke rumah pada malam 25 Mac lalu sebelum mendapati jeriji besi jendela belakang rumah dirosakkan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Beliau menegaskan polis memandang serius kes jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.