KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) digesa memperkukuh promosi pelancongan domestik secara lebih strategik bagi menangani penurunan ketibaan pelancong yang menjejaskan industri perhotelan negeri ketika ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pendekatan tersebut penting susulan beberapa hotel di sekitar Kota Kinabalu merekodkan penurunan kadar penginapan sejak kebelakangan ini.
“Dengan strategi yang tepat dan penawaran produk yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan, Suresh Ramasamy bersama rombongan di pejabatnya.
Menurut Masidi, penurunan tersebut dipercayai berpunca daripada ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah, selain perubahan corak perjalanan pelancong yang kini beralih ke destinasi alternatif seperti Vietnam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar MAH Sabah dan Labuan serta STB memperkukuh kerjasama dalam merangka strategi pemasaran yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
Masidi turut menekankan keperluan mempergiat promosi domestik dengan memberi tumpuan kepada pasaran berpotensi tinggi seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Menurutnya, kawasan tersebut mempunyai kelompok pelancong berpendapatan tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan industri pelancongan negeri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Sabah perlu lebih proaktif dalam membangunkan produk pelancongan baharu dan unik bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing di peringkat serantau.
Katanya, langkah itu penting dalam menghadapi persaingan daripada destinasi baharu yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Suresh memaklumkan industri perhotelan Sabah kini berdepan tekanan susulan penurunan jumlah pelancong asing, sekali gus menjejaskan prestasi sektor berkenaan.






