XPDC Bakal Berdakwah Dalam Persembahan Di Eropah

XPDC Bakal Berdakwah Dalam Persembahan Di Eropah

0
SHARE

Ia adalah satu kebiasaan bagi masyarakat melihat kumpulan yang membawa ‘genre rock’ sebagai satu pengaruh yang negatif kepada generasi muda, namun persepsi ini harus mula dikikis berikutan contoh baik yang ditampilkan oleh kumpulan XPDC dalam sisipan dakwah dalam persembahan mereka.

Kumpulan ‘heavy metal’ popular ini bakal menjayakan program jelajah yang bermula di London yang kemudiannya akan bergerak ke Manchester, Liverpool, Dublin, Paris dan Amsterdam bagi mengadakan persembahan termasuk berdakwah.

Menurut ketua projek kembara tersebut, Mubarak Hatta, tujuan utama mereka ke negara itu adalah untuk mendekati masyarakat Islam terutamanya warga Malaysia yang menetap di sana.

“Dengan itu, kita dapat melihat cara hidup mereka, bagaimana melakukan ibadah, mendapatkan makanan halal dan sebagainya.

“Selain mendekati masyarakat Islam di Eropah, XPDC juga akan menghiburkan peminat di negara-negara yang dilawati menerusi acara persembahan.

“Kami juga membawakan Maulana Wan Hilmy Wan Mohamed yang akan berkongsi ilmu dan juga pelakon, Shamsul Ghau Ghau untuk turut serta sebagai pengacara program,” kata Hatta.

Dibawakan khas oleh Pharmasa Nutrition Sdn Bhd, program kembara ini akan dirakamkan dalam bentuk travelog sebanyak 13 episod dan akan disiarkan di sebuah stesen televisyen tanah air.

Bagi kumpulan XPDC, perubahan hidup dan peningkatan usia membuatkan mereka memilih jalan lain yang lebih memberi manfaat untuk habuan ‘di sana’ nanti iaitu dengan berdakwah.

Demi menyebarkan fahaman Islam sebenar, XPDC sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak selama lebih sebulan untuk menjayakan program kembara dakwah di bumi Eropah pada Oktober depan.

Namun bagi kumpulan ini yang dianggotai Ali (vokalis), Izo (gitaris), Eddie (bass) dan Lola (drummer),mengorbankan diri untuk perjuangan kepada agama Islam adalah lebih utama.

Ali, 49, berkata, segalanya sudah diuruskan dan Insya-Allah isteri mereka akan menjaga anak-anak dengan baik sepanjang mereka berdakwah di Eropah nanti.

“Walaupun berat hati nak meninggalkan mereka tapi demi menjayakan kembara dakwah ini, kami terpaksa mengorbankan diri,” katanya di siding media kembara dakwah XPDC ke bumi Eropah di Hotel Pacific Regency, Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Tambah Eddie pula, program ini adalah salah satu cara untuk membawa umat Islam secara berperingkat menuju kepada kehidupan yang lebih Islamik.

“Tidak semestinya ulama dan cendiakawan Islam sahaja yang boleh melakukan aktiviti dakwah ini. Kita sebagai umat Islam yang mempunyai ilmu juga boleh melakukannya.

“Namun dengan syarat, kita sentiasa berada dalam landasan yang betul,” katanya.

– HarianEkspres