GEORGE TOWN – Selepas lima hari koma dan disahkan mengalami keadaan mati otak, T. Nhaveen, 18, remaja yang dibelasah sekumpulan pemuda, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang kelmarin, 15 Jun 2017.
Ibu remaja itu, D. Shanti dilihat beberapa kali pengsan dan terpaksa dipapah anggota keluarga akibat terlalu sedih dengan kematian anak sulungnya itu. Nhaveen mempunyai seorang adik perempuan.
Shanti yang merupakan ibu tunggal itu kemudian terpaksa dibawa balik oleh anggota keluarga ke rumahnya di Jelutong.
“Kami minta polis mengambil tindakan segera dan siasat secara terperinci kes ini. Kami mahu mereka yang terlibat ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang,” kata R. Thiyagarajan, bapa saudara remaja malang itu ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Selepas berita kematian remaja yang bercita-cita menjadi ahli muzik itu tersebar, anggota keluarga dan rakan-rakannya mula membanjiri perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini sejak pukul 7 malam.
Nhaveen, mengalami kecederaan parah selepas dibuli dan dipukul sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas di Jalan Kaki Bukit, Taman Tun Sardon di sini. Dia meninggal dunia pada pukul 6 petang ini, setelah tidak sedarkan diri sejak kejadian itu.
Dalam kejadian pada pukul 2.10 pagi itu, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin, 19, menggunakan topi keledar. Previin yang turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.
Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Thiyagarajan berkata upacara penghormatan terakhir akan diadakan di rumah keluarga mereka di Jelutong sebelum mayat Nhaveen dibawa ke Krematorium Batu Gantung pada pukul 2 petang, esok.
“Ketika ini kami memerlukan sedikit ruang privasi kerana masih bersedih dengan pemergian Nhaveen dan keluarga berharap proses bedah siasat disegerakan serta berjalan lancar dan mayat Nhaveen akan dibawa pulang ke rumahnya malam ini juga selepas proses bedah siasat selesai,” katanya dipetik oleh Bernama.
Sehingga pukul 10 malam proses bedah siasat Nhaveen masih berjalan.
S. Sivaraja, 18, seorang daripada rakan Nhaveen yang turut berada di hospital malam ini, berkata mereka kehilangan seorang sahabat yang baik.
“Sejak hari Isnin saya datang setiap hari ke hospital untuk melawat Nhaveen. Masa dia mati tadi, saya baru balik dari sini (hospital) dan terus datang semula bersama rakan-rakan lain.
“Kami semua sedih dan berharap ada keadilan untuk mendiang,” katanya yang berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua yang terlibat dalam kes itu.
Dalam pada itu, kes pukul dan dera remaja lelaki, T. Nhaveen kini akan disiasat sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menukar siasatan kes itu setelah ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, susulan kematian remaja itu.