TAMBUNAN: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun terpaksa mendapatkan bantuan bomba selepas sebatang besi tertusuk pada kakinya ketika melakukan kerja-kerja pertukangan rumah di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan Hospital Tambunan pada jam 9.07 pagi bagi membantu mengeluarkan besi berkenaan.
Menurutnya, empat anggota bersama sebuah jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke hospital dan tiba kira-kira tiga minit kemudian.
“Menurut rakan sekerja mangsa, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pertukangan rumah sebelum besi berkenaan tertusuk pada kakinya.
“Mangsa kemudian dibawa oleh rakan sekerjanya ke Hospital Tambunan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mitchell berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong dan mengeluarkan besi berkenaan bagi memudahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan lanjut kepada mangsa.
“Besi berkenaan berjaya dikeluarkan dan mangsa yang mengalami kecederaan kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan serta rawatan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang diketuai PBK II Julinah Abat itu tamat sepenuhnya pada jam 9.20 pagi.






