
KOTA KINABALU, SABAH – Sejumlah 80 buah rumah setinggan telah dirobohkan dalam Op PTI Bersepadu Mega yang dilaksanakan di sekitar daerah ini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, operasi yang memakan masa lima jam bermula dari jam 10 pagi sehingga jam tiga petang.
“Polis Kota Kinabalu berjaya menangkap tiga orang perempuan dewasa warga Filipina dalam operasi ini.
“Tangkapan pendatang tanpa izin (PTI) akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 51(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang, dalam usaha membenteras jenayah, PTI, dadah dan gejala sosial di daerah Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi turut dibantu Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Ketua Menteri, Sabah Electricity Sdn Bhd, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.