WASHINGTON – Kit pistol Glock sebenar yang menyerupai seakan pistol mainan Lego mencetuskan kontroversi yana mana ketika ini ratusan kanak-kanak di negara itu menjadi mangsa kepada insiden tembakan.
Memetik laporan AFP, pengilang mainan blok bangunan Denmark itu sudah mengemukakan surat kepada syarikat yang berpangkalan di Utah, Culper Precision, untuk menghentikan pengeluaran senjata api berkenaan.
“Organisasi kami menghubungi Lego, yang kemudian menghantar surat kepada pembuat senjata,” kata Shannon Watts, pengasas kumpulan Moms Demand Action, yang mendesak kepada kawalan senjata yang lebih ketat.
Reka bentuk bata berwarna-warni menjadikan senjata api separa automatik itu mirip dengan mainan Lego.
Pembuat senjata itu memasarkannya dengan dikenali sebagai ‘Block19’ yang dijual di antara AS$549 (RM2,267) dan $AS765 (RM3,159).
“Inilah salah satu impian ketika kecil yang menjadi kenyataan,” kata Culper Precision melalui iklan pistol berkenaan di Instagram yang disiarkan pada 24 Jun lalu.
“Senjata ini menyeronokkan. Menembak memang menyeronokkan. 30 pusingan peluru automatik penuh memang menyeronokkan,” kata syarikat itu di laman webnya.
Watts, menekankan insiden tembakan rambang meningkat sebanyak 30 peratus pada tahun lalu, katanya kepada Washington Post.
Pada tahun ini, berlaku lebih 165 kejadian tembakan rambang oleh kanak-kanak di AS, manakala pada 2020 seramai 142 orang maut akibat insiden berkenaan yang dilakukan golongan sama atau di bawah umur, menurut organisasi Everytown.
Ketua Pegawai Eksekutif Culper Precision, Brandon Scott mengesahkan kepada Washington Post beliau menerima notis rasmi Lego dan syarikat itu memutuskan untuk mematuhinya selepas menjual kurang daripada 20 unit.