PUTATAN, SABAH – Seorang penunggang motosikal maut di hospital sejam selepas merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) kelmarin.
Difahamkan, kereta jenis Toyota Innova tersebut sedang membuat pusingan U berhampiran Gedung Perabot Rustica Putatan dalam kejadian 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata lalu mangsa, seorang lelaki berumur 22 tahun datang dari arah bertentangan di Jalan Kota Kinabalu – Papar.
“Akibat rempuhan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kaki dan muka dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu…
“Beliau seterusnya disahkan meninggal dunia pada jam 11.00 pagi hari yang sama,” katanya.
Haris berkata mayat mangsa kini masih berada di Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Sementara itu, pemandu MPV yang merupakan seorang lelaki berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.