DHAKA BANGLADESH: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mengambil tindakan selepas banyak skandal rasuah termasuk membabitkan bekas pembantu rumahnya yang kini mengembara dengan helikopter selepas mengumpul kekayaan AS$34 juta (RM159.05 juta), lapor Akhbar harian Dhaka Tribune.
Tuduhan baru-baru ini yang mendominasi media Bangladesh turut membabitkan seorang bekas ketua tentera, bekas ketua polis, pegawai kanan cukai dan pegawai pengambilan negeri.
Hasina berkata, masalah rasuah yang berlarutan akan diselesaikan.
“Rasuah adalah masalah yang sudah lama berlaku dan kepincangan ini mesti dibersihkan, kami sudah mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan perkara hal ini,” katanya kepada kepada pemberita.
Beliau berkata, langkah diambil itu termasuk tindakan terhadap bekas pembantu rumahnya yang dilaporkan media Bangladesh sebelum ini sebagai pembawa air, sekiranya dia memerlukan minuman dalam sesebuah majlis.
“Lelaki yang bekerja sebagai peon (budak suruhan) di rumah saya, kini memiliki 400,00,00,000 Taka (AS$34 juta).
“Dia tidak boleh bergerak tanpa helikopter. Bagaimana dia memperoleh banyak wang? Saya mengambil tindakan serta-merta selepas mengetahui perkara ini,” katanya.
Hasina tidak mengenal pasti pembantu rumah itu, tetapi beberapa akhbar menamakannya sebagai Jahangir Alam, dan digelar ‘Pani’ atau ‘air’ , kerana pekerjaan lamanya.
Media sama turut melaporkan individu tersebut menggunakan kedudukannya di pejabat Hasina untuk terbabit dalam ‘melobi, manipulasi tender dan rasuah’.
Laporan mengenai lelaki itu tersebar dengan pantas di media sosial dengan parti pembangkang menuduh pentadbiran Hasina melakukan rasuah endemik.