SEMPORNA, SABAH – Seorang ibu bersama bayi sembilan bulan dan seorang warga emas wanita yang menaiki Perodua Viva maut di Hospital ekoran pertembungan dengan sebuah Toyota Avanza di Batu 32, Jalan Semporna- Tawau, kira-kira 4.50 petang Sabtu, semalam.
Mangsa meninggal adalah bayi perempuan sembilan bulan, seorang wanita 24 tahun dan warga emas wanita berusia 66 tahun.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Viva, seorang lelaki berusia 31 tahun, bersama lima penumpang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna.
“Pemandu Perodua Viva hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.
“Kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki 46 tahun dengan dua penumpang pelancong China yang dalam perjalanan dari arah Semporna menuju ke Tawau.
“Seramai enam orang mangsa yang berada di dalam Perodua Viva dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna serta orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu Viva serta lima penumpang parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Semporna.
“Pemandu Toyota Avanza lelaki berusia 46 tahun serta dua penumpang warga China masing-masing berusia 24 tahun hanya mengalami cedera ringan.
“Tiga penumpang Perodua Viva disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di wad kecemasan Hospital Semporna.
“Manakala pemandu Perodua Viva dan dua lagi penumpang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan 10 tahun mengalami cedera parah,” tambahnya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan pemandu Toyota Avanza dibawa ke trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.