HONOLULU – Seorang perunding Amerika Syarikat (AS) yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dihukum penjara dua tahun kerana melakukan usaha melobi secara haram.
Dalam satu laporab yang dipetik Berita Harian, usaha melobi itu dilakukan Nickie Mali Lum Davis untuk mempengaruhi pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump, menggugurkan siasatan terhadap kecurian berbilion dolar dana pelaburan Malaysia itu, selain mengatur kepulangan pemberontak China yang menetap di AS.
Davis mengaku bersalah pada 2020 terhadap satu pertuduhan menolong dan bersubahat, yang melanggar Akta Pendaftaran Ejen Luar.
Pendakwa raya AS, John Keller, berkata Davis gagal memaklumkan kepada kerajaan AS bahawa usaha melobi itu dilakukan bagi pihak ahli perniagaan warga Malaysia, yang dituduh terbabit konspirasi pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar dana 1MDB.
Sebagai balasan menerima berjuta dolar, Davis dan beberapa pihak lain cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mempengaruhi pegawai tertinggi dalam kerajaan AS dan ‘menjual hubungan’ kepada ‘pembida asing tertinggi’, kata Keller dalam perbicaraan Davis di Honolulu.
Pertuduhan itu susulan skandal 1MDB, dana kekayaan Malaysia yang ditubuhkan lebih 10 tahun lalu untuk merancakkan pembangunan ekonomi.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya mendakwa dana 1MDB itu sebenarnya digunakan sebagai ‘tabung’ oleh sekutu bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Malaysia.

Pendakwa raya AS mendakwa, sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM19.4 bilion) dicuri daripada 1MDB itu dan digunakan sekutu Najib untuk membiayai pembuatan filem Hollywood dan pembelian hotel, kapal mewah, karya seni, barang kemas dan barangan mewah lain.
Najib menubuhkan dana 1MDB tidak lama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009. Beliau didapati bersalah pada 2020 atas tujuh pertuduhan rasuah.
Menurut pihak berkuasa AS, usaha melobi bagi pihak ahli perniagaan Malaysia itu, yang dikatakan membantu mendalangi penyelewengan berkenaan, tidak berjaya, selain usaha mengatur pertemuan dengan Jabatan Keadilan AS bagi melobi penghantaran pulang seorang warga China juga gagal.