Buruh Warga Asing Positif Syabu Ditahan di Tawau

Buruh Warga Asing Positif Syabu Ditahan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang buruh warga asing berusia 26 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di kawasan Ladang Brumas, dekat sini, pada malam Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai bersama tiga anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad ketika menjalankan rondaan di kawasan perumahan pekerja kontrak ladang berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang pada suspek, namun lelaki itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak polis akan terus memperhebatkan operasi serta rondaan pencegahan bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah lain di daerah ini.

Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kewarganegaraan atau status mereka.

“Penyalahgunaan dadah merupakan ancaman serius yang boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. Justeru, usaha membanteras gejala ini akan terus diperkasakan melalui operasi berterusan serta kerjasama pelbagai agensi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menjauhi gejala dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah di kawasan masing-masing.