KOTA KINABALU, SABAH – Portal media bebas SabahNews.com.my menafikan sekeras-kerasnya penyebaran satu hantaran palsu yang menggunakan logo serta identiti portal itu untuk memfitnah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, melalui laman Facebook “Munirah Fans”.
Hantaran tersebut memaparkan gambar Ketua Menteri bersama tajuk berniat jahat “Hajiji Diiktiraf Sebagai Bapa Komisen Sabah” dengan reka bentuk dan logo menyerupai Portal SabahNews.
Lebih mengejutkan, ia turut disertai komen berunsur fitnah terhadap peribadi Ketua Menteri, yang jelas bertujuan mencemar imej beliau dan menipu rakyat kononnya berita itu diterbitkan oleh SabahNews.


FITNAH TERANCANG OLEH PENYOKONG WARISAN
Siasatan awal mendapati laman Facebook “Munirah Fans” dikendalikan oleh penyokong tegar Parti Warisan, yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy.
Tindakan individu atau kumpulan ini menggunakan nama dan jenama SabahNews untuk menyerang pemimpin negeri merupakan satu bentuk fitnah media terancang yang menyalahi undang-undang.
Portal SabahNews.com.my menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyiarkan sebarang artikel dengan tajuk tersebut dan tidak terlibat sama sekali dalam sebarang penerbitan berunsur politik kepartian.
SabahNews merupakan portal media bebas, ditubuhkan sejak lima tahun lalu, yang sentiasa mengamalkan etika kewartawanan, keseimbangan berita, dan ketelusan sumber.
LAPORAN POLIS & TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Susulan fitnah ini, pihak pengurusan SabahNews.com.my akan membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengendalikan laman “Munirah Fans”.
Selain itu, Notis Tuntutan Undang-Undang (Letter of Demand – LOD) juga akan dihantar kepada Ahli Parlimen Kota Belud, bagi menuntut penarikan balik kenyataan fitnah, permohonan maaf terbuka, serta ganti rugi atas kerosakan imej dan reputasi Portal SabahNews.
Portal SabahNews menegaskan bahawa sebarang cubaan menggunakan nama, logo, atau imej portal ini untuk tujuan politik, manipulasi persepsi, atau fitnah terhadap mana-mana pihak tidak akan dibiarkan tanpa tindakan undang-undang.
KENYATAAN TEGAS PORTAL SABAHNEWS
“Kami bukan portal politik, kami adalah media bebas. Fitnah sebegini bukan sahaja mencemar nama SabahNews, tetapi juga menipu rakyat Sabah dengan maklumat palsu. Kami akan pastikan dalang di sebalik laman Munirah Fans dibawa ke muka pengadilan.”
— Jurucakap Rasmi Portal SabahNews.com.my






