DBKK Keluar 14 Kompaun Terhadap Kenderaan Halang Lalu Lintas di Tanjung Aru

DBKK Keluar 14 Kompaun Terhadap Kenderaan Halang Lalu Lintas di Tanjung Aru

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan sebanyak 14 kompaun terhadap kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur hingga menghalang aliran trafik di kawasan Tanjung Aru, susulan aduan awam mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Menurut kenyataan DBKK, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh lima anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKK yang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan selepas menerima laporan daripada orang ramai.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kenderaan diparkir di kawasan larangan dan di bahu jalan utama sehingga menyebabkan gangguan kepada kelancaran trafik.

“Sehubungan itu, sebanyak 14 tawaran kompaun telah dikeluarkan di bawah peraturan dan undang-undang lalu lintas,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Tindakan itu turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, yang hadir bagi membantu memastikan penguatkuasaan berjalan lancar dan keadaan trafik kembali terkawal.

DBKK merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas sokongan berterusan dalam memastikan keselamatan dan keteraturan di kawasan bandar raya, selain mengingatkan orang ramai supaya mematuhi Undang-undang Kecil (UUK) lalu lintas bagi menjamin kelancaran pergerakan dan kesejahteraan pengguna jalan raya.