
LAHAD DATU, SABAH – Tiga adik-beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut apabila motosikal yang dinaiki mereka merempuh kereta pacuan empat roda di Jalan Tungku Kampung Bekapit.
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah Mitsubishi Triton dan Isuzu Dmax berlaku pada sekitar jam tujuh malam, semalam.
Menrut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, motosikal jenis Honda Wave terbabit dinaiki Ellaine Sappari, 4, Isang Sappari, 39 dan Amil Sappari, 45 tahun.
“Dua mangsa perempuan dan seorang lelaki itu disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Terdapat lapan orang terlibat dalam kemalangan tersebut manakala lima orang masing-masing dalam kenderaan pacuan empat roda termasuk dua orang kanak-kanak perempuan berusia setahun berada dalam keadaan selamat.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan susulan. Tiada operasi menyelamat yang dilakukan oleh pasukan dari Balai Bomba Lahad Datu, hanya pemeriksaan oleh anggota EMRS kepada mangsa yang terlibat,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8:50 malam.





