KOTA MARUDU: Sebuah premis di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak di sini, dipercayai dijadikan stor pengumpulan petrol dan diesel bersubsidi terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, pada petang Selasa.
Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, PPM menemukan 33 tong drum berkapasiti 200 liter yang disyaki digunakan untuk menyimpan bahan api bersubsidi.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, serbuan susulan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan berkaitan kes tangkapan serta rampasan terdahulu di Pitas.
“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang premis menemukan 33 tong drum berkapasiti 200 liter, terdiri daripada 10 tong disyaki mengandungi petrol dan 23 tong disyaki mengandungi diesel,” menurut kenyataan itu.
Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah berkaitan penyimpanan bahan api berkenaan.
Kesemua barang kes dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM33,000.
Sementara itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyelewengan dan penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
“PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang menyeleweng serta menyalahgunakan subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata, risikan dan operasi susulan akan terus dipertingkat bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barangan kawalan serta memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.






