Petani, Penternak Sabah Diminta Bersedia Hadapi Cuaca Panas Berpanjangan

Petani, Penternak Sabah Diminta Bersedia Hadapi Cuaca Panas Berpanjangan

0
SHARE

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka membawa musim panas berpanjangan bermula September hingga Februari depan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.

“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, diminta membuat kolam-kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, hari ini.

Jamawi berkata, pengusaha ternakan, termasuk lembu tenusu, kambing dan perikanan juga perlu mengambil langkah persediaan menghadapi keadaan cuaca panas.

Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan kementerian.

“Saya nanti akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya dapat disebarluaskan SOP kita menghadapi El Nino,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, MAFFI sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.

Katanya, kawasan Pantai Barat Sabah sudah mempunyai pelbagai zon industri termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai POIC di Sandakan dan Lahad Datu.

“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu sudah dimulakan di kawasan Beaufort dengan pembinaan kilang memproses dan menghasilkan bantal berasaskan lateks.

Di Tenom pula, katanya, sebuah kilang memproses avokado telah diwujudkan dan dibina, selain empat kilang memproses kopi.

Kementerian turut menyediakan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi di Tenom bagi menyokong kilang-kilang berasaskan kopi yang disediakan.

Di Keningau, MAFFI mencadangkan kawasan itu sebagai hab memproses hasil tenusu dan daging lembu, mengambil kira kewujudan pengusaha seperti Eko Yap/ Keningau Dairy dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang terlibat dalam penternakan lembu.

“Masih kekurangan untuk memproses. Itu makanya kita menjemput dan juga bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berasaskan kepada lembu tenusu dan juga lembu daging,” katanya.

Sementara itu, kawasan Tambunan akan dibangunkan dengan kilang berasaskan halia.

Jamawi berkata, pembangunan industri hiliran itu penting bagi membolehkan hasil pertanian asli diproses menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus meningkatkan harga komoditi dan pendapatan petani.

“Bila ia jadi produk hiliran, ia akan menaikkan harga komoditi. Bila harga komoditi naik, yang untungnya adalah petani-petani kita,” katanya.

Beliau memberi contoh harga susu getah atau lateks yang meningkat daripada kira-kira RM7.30 ketika beliau mula menjadi Menteri kepada RM8.90 hari ini, hasil usaha memproses lateks menjadi produk seperti bantal.

Katanya, lebih banyak usaha seumpama itu akan dilaksanakan kerana kementerian mempunyai perancangan yang jelas dan komited untuk memastikan ia dilaksanakan.

“Yang pentingnya kita ada perancangan dan segala perancangan kita laksanakan. Dan pelaksanaan ini disokong oleh komitmen daripada Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Mengenai operasi kilang avokado di Kampung Bunut, Jamawi berkata bangunan berkenaan telah siap dan kini dalam proses melengkapkannya dengan mesin serta peralatan.

Katanya, kos pengisian mesin dan peralatan dianggarkan kira-kira RM2 juta.

Apabila siap kelak, kilang itu akan memproses hasil avokado kampung serta avokado KW1, dengan buah gred A dan B dieksport, manakala buah gred C yang kurang menarik dari segi rupa akan diproses menjadi produk hiliran.