KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera membantu pengurusan istiadat berkenaan.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, Anwar turut menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah atas pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” katanya.
Anwar berkata ingatan dan doanya bersama Dr Mahathir serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarhamah, menerima amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.






