SEMPORNA, SABAH – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dua pemancing yang hilang di perairan Pulau Mataking sini diteruskan pada jam 7.00 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, operasi diaktifkan pada jam 1.00 petang semalam sebaik menerima aduan berkaitan kejadian dan telah memasuki hari kedua hari ini.
Menurutnya, “mangsa dikenal pasti sebagai Makbul dan Azip Kiram, berbangsa Bajau Suluk serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.”
Beliau dikatakan keluar memancing pada 15 Januari (Sabtu) yang lalu namun sehingga kini masih belum pulang.
“Sektor pencarian hari kedua ini dibahagi kepada enam sektor dengan keluasan operasi merangkumi 256 batu nautika persegi…
“Pos Hadapan CARILAMAT (PHC) juga telah diaktifkan di Jeti Pelancongan Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata angin dengan kelajuan 40-50 km sejam dan ombak setinggi 2.5- 3.5 meter yang melanda kawasan Pantai Timur Sabah akan berlarutan sehingga 20 Januari (Khamis) ini.
Aset serta anggota dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Taman-Taman Sabah turut telah digerakkan bagi melaksanakan pencarian.
Norrimi mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri apabila melakukan aktiviti di laut.