KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menyatakan UMNO Sabah secara keseluruhan tidak lagi menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dilihat sebagai satu kenyataan yang dianggap nakal dan dangkal.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata telah diketahui umum UMNO kini terpecah kepada dua kumpulan walaupun ianya cuba dinafikan oleh Suhaimi dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kumpulan kedua dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah yang disifatkan sebagai anti Bung dan penyatuan UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) masih lagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Sebagai bekas aktivitis UMNO hampir 30 tahun lamanya saya juga berkelayakan membuat komentar berkaitan UMNO di Sabah.
“Walaupun UMNO Sabah membuat keputusan menarik sokongan daripada GRS namun ia bukannya datang dari majoriti pimpinan dan ahli akar umbi UMNO Sabah malahan Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga belum membuat keputusan mengenainya.
“Tidak perlulah saya dedahkan siapa pimpinan UMNO Sabah ketika ini yang masih menyokong Hajiji kerana Suhaimi tentu dan kenal siapa pemimpin UMNO Sabah tersebut.
“Agak lucu dan menghairankan pemimpin seperti Suhaimi sepatutnya faham bahawa kenyataan Hajiji hanyalah bagi menjelaskan tentang senario terkini bahawa kerajaan negeri Sabah yang juga dikenali sebagai kerajaan GRS dan PH juga turut dibarisi oleh wakil rakyat dari UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkarnain turut berkata cubaan rancangan Bung dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggulingkan kerajaan negeri pada awal tahun lepas memberi kesan kepada pimpinan tertinggu UMNO.
“Saya mengakui rancangan kudeta Bung bersama Shafie Apdal pada bulan Januari 2023 lalu yang telah menemui kegagalan memberi kesan mendalam terhadap Suhaimi termasuk Bung Moktar.
“Oleh sebab itu dendam kesumat terhadap Hajiji masih membara dalam hati mereka.
“Nasihat saya kepada Suhaimi agar pergi berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan menghampirkan diri kepada Tuhan Yang Masa Esa,” katanya.