Motosikal Gagal Memotong Punca 3 Mangsa Termasuk Kanak-Kanak Meninggal Dunia

Motosikal Gagal Memotong Punca 3 Mangsa Termasuk Kanak-Kanak Meninggal Dunia

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tungku ekoran kemalangan membabitkan tiga kenderaan dipercayai berpunca akibat kegagalan seorang penunggang motosikal memotong di Jalan Felda Sahabat 6 Cenderawasih, sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata motosikal jenis SM Sport 110 yang ditunggang seorang lelaki warga Indonesia berusia 55 tahun cuba memotong sebuah Nissan Frontier di hadapan lalu bertembung dengan Proton Iswara Aeroback.

“Iswara dipandu oleh lelaki berusia 62 tahun bersama tiga individu termasuk kanak-kanak yang datang dari arah Felda Sahabat ke Lahad Datu.

“Kereta itu hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun bersama lima penumpang.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang penumpang Proton Iswara Aeroback meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan dua penumpang Proton Iswara Aeroback termasuk seorang kanak-kanak parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut, bagaimanapun kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sampel darah kedua pemandu dan penunggang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut laporan akhir Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa meninggal dunia dalam kenderaan Proton Iswara adalah seorang wanita dewasa dan kanak-kanak perempuan.