Pemimpin Dunia Janji Sediakan Dana Lebih RM1.2 Bilion Untuk Bantu Lubnan

Pemimpin Dunia Janji Sediakan Dana Lebih RM1.2 Bilion Untuk Bantu Lubnan

0
SHARE
Tragedi letupan dahsyat yang berlaku di pelabuhan Beirut, Luban pada Selasa lalu...

PARIS – Pemimpin dunia berjanji menyediakan dana lebih 250 juta euro (RM1.2 bilion) kepada Lubnan yang dilanda tragedi, kata Perancis yang mengetuai satu persidangan secara maya pada Ahad, dan sepakat bantuan kecemasan itu akan disalurkan terus kepada penduduk yang terkesan akibat insiden letupan di pelabuhan Beirut, Selasa lalu.

Seramai 15 ketua kerajaan termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyertai persidangan maya yang dihoskan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut memberi jaminan bantuan itu akan diberi dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dipetik AFP, selepas mesyuarat itu yang disertai wakil daripada kira-kira 30 negara, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab, tidak memaklumkan jumlah global.

Namun, pejabat Macron memaklumkan jumlah keseluruhan bantuan kecemasan yang dijanjikan atau boleh disalurkan secepat mungkin adalah berjumlah 252.7 juta euro (RM1.25 bilion), termasuk 30 juta euro (RM148 juta) oleh Perancis.

Macron adalah pemimpin dunia pertama melawat Lubnan yang juga bekas jajahan Perancis, selepas insiden letupan Selasa lalu berpunca daripada simpanan ammonia nitrat, yang meragut lebih 150 nyawa, mencederakan kira-kira 6,000 orang dan dianggarkan 300,000 hilang tempat tinggal.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas memaklumkan penyiar ZDF bahawa ‘bantuan kecemasan lebih 200 juta euro (RM990 juta) berjaya dikumpulkan’, termasuk 20 juta euro (RM99 juta) oleh Jerman.

Kenyataan bersama oleh pemimpin dunia dan perwakilan itu juga menggambarkan kebimbangan terhadap amalan rasuah oleh Kerajaan Lubnan.

“Peserta persidangan bersetuju bantuan perlu dilakukan secara pantas, mencukupi dan konsisten dengan keperluan penduduk Lubnan, dikoordinasi di bawah pimpinan PBB dan disalurkan secara langsung kepada rakyat Lubnan secara cekap dan telus,” katanya.

Pemangku pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), John Barsa dalam satu sidang menerusi telefon semalam, memaklumkan AS menyalurkan kira-kira AS$15 juta (RM63 juta) buat masa ini, dan ia tidak akan disalurkan menerusi kerajaan Lubnan.

Negara penderma menggesa pihak berkuasa Lubnan menyatakan komitmen sepenuhnya kepada reformasi yang tepat pada masanya, bagi membolehkan lebih banyak bantuan jangka panjang disalurkan bagi memulihkan ekonomi dan kewangan negara itu.

PBB memaklumkan kira-kira AS$117 juta (RM491 juta) diperlukan, antaranya untuk tindak balas kecemasan selama tiga bulan bagi perkhidmatan kesihatan, perlindungan, pengagihan makanan dan program bagi mengekang penularan COVID-19.