SANDAKAN, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki dewasa kerana membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Pamaguan awal pagi kemarin.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan Sabah, DSP Rusdin Bin Banin berkata, Polis Marin yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan tersebut mendapati bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati seorang juragan lelaki berumur 34 tahun berada di dalam bot berkenaan yang membawa barang kawalan iaitu beberapa jeriken minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM811.80…
“Nilai rampasan termasuk bot yang digunakan berjumlah RM14,511.80,” katanya.
Menurutnya lagi, jurangan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.