KOTA KINABALU: Tahun 2026 disifatkan sebagai titik permulaan baharu dalam pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang akan memacu pembangunan negeri secara lebih tersusun, mampan dan inklusif, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2026, beliau berkata pelaksanaan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan menjadi fasa penting dalam memperkukuh kestabilan pentadbiran, memperkasa ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, yang menurutnya mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kesinambungan dasar dan kematangan politik.
Menurut Nizam, mandat tersebut membuktikan rakyat Sabah memilih sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan mempunyai hala tuju jelas bagi membawa negeri ke arah kemajuan berterusan.
Katanya, GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah diberikan amanah untuk menerajui Kerajaan Perpaduan Sabah, selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan pentadbiran berfokuskan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat berkata, agenda SMJ 2.0 akan terus diperkukuh melalui tiga teras utama pembangunan negeri iaitu sektor pertumbuhan ekonomi merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta peluasan jaringan infrastruktur yang mampan dan berteraskan kelestarian hijau.
Dalam konteks kementeriannya, Datuk Haji Nizam berkata tumpuan akan diberikan kepada pembangunan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi menerusi pemerkasaan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan.
Selain itu, usaha memperkasa Sabah sebagai sebuah Negeri Sukan akan diteruskan secara holistik meliputi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya dan sukan massa, di samping memperkukuh industri ekonomi kreatif dan digital sebagai antara pemacu ekonomi baharu negeri.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Sabah untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip, sambil memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.
Nizam sekali lagi menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan padu dan kerjasama erat kepada Kerajaan Negeri, sambil menyatakan keyakinan bahawa Tahun 2026 akan membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan rakyatnya.






