MBS Sarankan Kerajaan Wajibkan Calon PRN Sabah Isytihar Harta Dan Sumber Pendapatan

MBS Sarankan Kerajaan Wajibkan Calon PRN Sabah Isytihar Harta Dan Sumber Pendapatan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS) Mazlan Joe Manan menyarankan kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mewajibkan bakal calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengisytiharkan harta dan sumber pendapatan sebelum atau semasa mengemukakan borang pencalonan.

Beliau yang dipetik Bernama berkata perkara itu penting bagi memastikan harta seseorang calon itu setara atau sepadan dengan sumber pendapatannya dan dapat menghindarkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah di masa hadapan.

“Selain itu ahli politik dan calon-calon pilihan raya dapat memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat dan pengundi di kawasan masing-masing.

“Cabaran utama parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti. Dengan langkah awal ini akan dapat membantu rakyat membuat tapisan kepada calon-calon pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata sekiranya  semua parti yang bertanding dapat memperlihatkan kebertanggungjawaban dan integriti calon masing-masing, maka dapatlah rakyat mengharapkan agar  gelanggang politik dan pilihan raya ini dilaksanakan secara sihat dan mencapai matlamatnya untuk memilih wakil rakyat serta menentukan kerajaan.