GTA Tidak Tawarkan Janji Kosong, Ulang Pendirian Manifesto Bukan Kitab Suci

GTA Tidak Tawarkan Janji Kosong, Ulang Pendirian Manifesto Bukan Kitab Suci

0
SHARE
Tun Dr Mahathir Mohamad...

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan menawarkan janji kosong didalam manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya hanya mahu tumpu terhadap perkara yang boleh dilaksanakan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana bukan semua perkara dapat dilaksanakan kerajaan khususnya sekiranya membabitkan kelancaran aspek pembangunan dalam negara.

“Kita nak buat benda yang boleh buat bukan nak janji, macam ada pihak yang nak menghapuskan tol jalan…

“Kita hapuskan tol, jalan raya tak boleh diperbaiki kerana kerajaan tidak ada duit untuk memperbaiki jalan kerana semua duit dibayar untuk hutang (negara),” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut menambah pihaknya tidak menyifatkan dan mengulangi pendirian beliau manifesto bukan sebuah kitab suci.

“Manifesto bukan Quran. Bila saya kata kitab suci, kita bermakna Quran. Manifesto ini hasil daripada orang tertentu membuat janji. 

“Mereka bukan pun ahli politik .. kadang-kadang kita nak buat juga tapi benda itu tak boleh buat…

“Mereka buat janji nak hapus tol … kita tak boleh hapus tol. Kita hapus tol kita tak ada duit buat jalan nak besarkan jalan dan sebagainya.

“Sebab itu saya kata manifesto bukan kitab suci. Kitab suci ialah Quran, takkanlah manifesto sama setaraf dengan Quran?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah di Aeropod, hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir ketika ditanya media sekiranya GTA mempunyai tawaran spesifik untuk Sabah, beliau menjawab pihaknya hanya akan melaksanakan apa yang diperlukan Sabah.

“Kita bukan buat janji yang kosong. Kita bersama dengan Sabah, apa yang perlu untuk Sabah kita laksanakan…

“Kita faham tentang Sabah kerana ramai daripada kita (pemimpin dalam GTA) mempunyai pengalaman di Sabah.

“Kita tahu cara-cara untuk membangunkan Sabah tetapi tak perlulah kita terangkan kepada orang lain kerana mereka tak mungkin (kerajaan sebelum ini) akan lakukan.

“Ada cadangan tetapi mereka untuk meluluskan sesuatu mengambil masa yang panjang. Kadang-kadang mereka mengambil masa yang panjang dan kadang-kadang mereka membantah sesuatu cadangan semata-mata kerana ia datang dari parti lawan,” katanya.