KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh beliau sebelum ini telah memperoleh banyak pencapaian walaupun hanya memerintah selama 22 bulan sahaja.
Tengah hari tadi, media melaporkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan segala kesalahan terhadap Mahathir susulan kegagalan PH mentadbir negara selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.
Anwar turut mendakwa tiada perubahan yang dibawa oleh Mahathir ketika pemerintahan PH sehingga menyebabkan rakyat mula muak dengan janji yang ditabur.
Menjawab berhubung kritikan Anwar yang juga merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Mahathir berkata terdapat perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihaknya khususnya membabitkan perihal perundangan negara.
“Yalah takkan dia nak puji saya. Dia yang merosakkan negara…
“Sebenarnya kita telah capai banyak kejayaan dalam 22 bulan tetapi ada perkara yang termasuk dalam manifesto yang tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan Perlembagaan.
“Kalau bercanggah dengan Perlembagaan, kita perlu dua pertiga baru kita boleh laksanakan. Kita tak ada dua pertiga, ada Anwar tidak menolong sama sekali.
“Dia cuma kira diri dia nak jadi Perdana Menteri saja, kononnya dia mempunyai banyak penyokong tapi mana penyokong itu bila kita tak cukup orang?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah di Aeropod, hari ini.
Dalam pada itu, Mahathir yang juga merupakan bekas Perdana Menteri itu turut berkata beliau akan tetap bertanding dalam PRU15 walaupun usianya telah lanjut disamping telah diumumkan sebagai calon paling tua.
Menurutnya, beliau mahu fokus untuk mengubah negara ke arah yang lebih baik.
“Bukan tentang Parlimen Langkawi, kita nak tukar supaya kita dapat ganti kerajaan yang menyalah guna kuasa yang merosakkan negara dengan kerajaan yang baru.
“Kalau saya boleh buat sesuatu untuk menukat kerajaan daripada yang buruk kepada yang baik, tak kira berapa umur saya, saya akan berusaha,” katanya.