KOTA KINABALU, SABAH – Bukan semua dari 66 penduduk Kampung Pondo di Pulau Gaya telah lari ke bandar Kota Kinabalu, demikian menurut Ketua Polis daerah ini.
Dalam perkembangan terkini, beliau berkata jumlah pesakit yang disahkan positif COVID-19 dari pulau berkenaan mencecah 71 individu, namun lima (5) daripada mereka telah pun menyerah diri kepada pihak berkuasa.
“Kebanyakkan mereka masih kekal di Pulau Gaya cuma berpindah-randah antara tiga belah bahagian iaitu Kampung Pondo iaitu, Pondo Tengah, Wakaf dan Laban…
“Pihak polis membuat pemantauan dan mendapati kebanyakkan suspek yang dikatakan telah melarikan diri sebenarnya masih di pulau itu.
“Ada yang menetap di rumah saudara-mara bagi mengelak ditangkap untuk menjalani kuarantin.
“Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai ke pusat bandar,” kata ACP Zaidi Abdullah.
Beliau berkata pada malam tadi, salah seorang wanita telah didapati membeli ikan di Pasar SAFMA di sini. Ekoran daripada itu, wanita berkenaan terus dihantar balik ke Pulau Gaya dan diserahkan ke pihak Kesihatan.
Zaidi terus berkata hampir kesemua mereka merupakan orang Pala’u dan bukan warganegara.
“Selain dari keinginan mereka untuk terus hidup di laut, mungkin hal berkenaan status kewarganegaraan juga menambah ketakutan untuk mereka menjalani kuarantin…
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang pada beberapa hari lalu menggunakan bot-bot yang besar dan tidak sampai ke setiap celah perumahan atas air.
“Ini mungkin juga sebab mereka tidak nampak sebahagian dari orang-orang yang dikehendaki itu,” tambah Zaidi.
Walau bagaimanapun, pihak Polis Kota Kinabalu telah mengaktifkan pasukan khas bagi membuat pemeriksaan ke atas bilik sewa di sekitar pusat bandar ekoran dakwaan sebuah mesej rantai baru-baru ini.
“Semua gambar mereka ada dalam milik polis dan operasi bagi menjejak baki pesakit ini giat dijalankan,” katanya lagi.